MUNGKIN ramai yang bertanya mengapa Nabi Muhammad SAW memilih Madinah sebagai destinasi baginda dan seluruh pengikutnya berhijrah? Mengapa tidak Yaman, Habsyah atau negeri-negeri lain!
Dikatakan baginda mendapat petunjuk mengenai negeri untuk berhijrah itu menerusi mimpi.
Semasa baginda dan Abu Bakar masih berada di Mekah, iaitu sebelum komplot membunuh oleh kalangan 11 pemuda yang mewakili kabilah dan suku kaum itu.
Aku melihat dalam tidurku bahawa aku akan berhijrah dari Mekah ke satu tanah yang banyak terdapat pada negeri itu akan kebun-kebun kurma. Pada mulanya aku menyangka Yamamah atau Hajar, rupa-rupanya Yathrib. (riwayat Bukhari).
Al Qurtubi berpendapat bahawa seluruh Yathrib itu adalah Madinah, nama yang diberi oleh Rasulullah apabila menubuhkan kerajaan Islam yang pertama di sana.
Namun baginda juga memberikan gelaran lain kepada Madinah seperti Tayyibbah (baik) dan Tabah (nyaman).
Sementara Abu Ubaidah pula berkata, Yathrib adalah nama kepada sebuah negeri dan Madinah itu adalah nama salah satu daerah di dalamnya.
Al Suhayli pula berpendapat dinamakan Yathrib kerana ada penduduk asalnya adalah dari keturunan Al Amaliq iaitu Yathrib bin Umayl bin Mihla’il bin Iwad bin Amaliq bin Lawudh bin Iram.
Selepas tiga hari tiga malam baginda menyembunyikan diri dalam Gua Tsur bersama Abu Bakar, mereka meneruskan perjalanan ke Yathrib.
Ketika hendak memulakan hijrah, datanglah anak perempuan Abu Bakar, Asma membawakan makanan untuk Rasulullah dan bapanya.
Tetapi Asma terlupa untuk memasangkan tali sangkut pada bekalan tersebut. Ketika mereka hendak berangkat, Asma pun hendak menyangkutkan bekalan itu pada unta yang menjadi kenderaan bapanya dan Rasulullah tetapi tiada tali.
Lalu Asma mengoyakkan kain yang menjadi tali pinggangnya kepada dua bahagian. Satu dijadikan penyangkut dan yang satu lagi dipakainya kembali.
Lantaran dari peristiwa itu, Rasulullah menggelarkan Asma dengan gelaran yang manis iaitu dhat al-nitaqayn (empunya dua tali pinggang).
Jalan pertama yang dilalui selepas keluar dari gua Tsur ialah ke selatan ke arah Yaman. Kemudian ke barat menuju ke persisiran pantai.
Apabila sampai ke sebatang jalan yang jarang dilalui, mereka pun mengarah pula ke utara berhampiran pantai Laut Merah dan merentasi sebatang jalan yang jarang-jarang dilalui orang.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Bakar, katanya: Kami pun berjalan pada malam hari. Walau udara begitu sejuk dan hanya bertemankan bulan di langit namun kami tidak berhenti berjalan sehinggalah sampai keesokan harinya apabila cuaca bertambah terik, barulah kami berhenti berehat di sebalik sebuah batu besar yang memberikan sedikit perlindungan dari terik cahaya matahari.
Namun perjalanan mereka akhirnya berjaya dicium oleh seorang kafir Quraisy iaitu Suraqah bin Malek yang mendapat maklumat daripada seorang lelaki.
Tanpa membuang masa lagi, dia menyiapkan seekor kuda yang gagah dan lengkap bersenjata untuk mengejar baginda.
Suraqah terkenal sebagai penunggang kuda yang cekap. Dia juga dikatakan seorang yang mahir bermain senjata terutama tombak dan panah.
Dia terus memecut kuda dan akhirnya nampak kelibat manusia. Malah Suraqah juga boleh mendengar alunan bacaan al-Quran oleh Nabi Muhammad. Ini membuatkan dia memacu kudanya untuk membunuh baginda.
Tetapi apabila Suraqah semakin menghampiri Nabi SAW dan Abu Bakar, tiba-tiba kaki kudanya terbenam ke dalam pasir sehingga ke paras lutut kuda tersebut. Suraqah sendiri jatuh terhumban akibat kemalangan yang tidak diduga itu.
Dia pantas bangun dan begitu juga kudanya dapat keluar dari pasir. Namun tiba-tiba mereka didatangi ribut pasir.
Ribut kencang itu mengeluarkan debu-debu hitam yang menyelubungi kawasan sehingga menutup pandangan mata.
Semua itu menghalang Suraqah untuk menghunjamkan tombaknya atau memanah ke arah Nabi Muhammad.
Lalu, Suraqah menghentikan niat jahatnya itu. Kejadian-kejadian pelik yang berlaku sebagai petanda bahawa Nabi di pihak yang benar.
Suraqah pun terus memberi isyarat berdamai kepada baginda dan menghampiri Nabi SAW.
“Sesungguhnya kaummu telah menjanjikan tawaran untuk menangkap kamu wahai Muhammad. Tetapi sekarang ini terserahlah kepada kamu untuk menahan aku kerana aku mempunyai niat untuk membunuh kalian.
“Niat itu kini tidak ada gunanya lagi sedangkan alam (sekitar) turut merestui perjalanan kamu ini, aku memohon kita berdamai sahaja,” kata Suraqah.
Rasulullah dan Abu Bakar tidak mengapa-apakan Suraqah dan tidak juga meminta apa-apa daripadanya.
“Kamu cuma perlu jauhkan diri kamu daripada kami, itu sahaja,” kata Rasulullah.
Dalam satu riwayat yang lain, Abu Bakar menceritakan perjalanan mereka itu.
“Kami sudahpun berlepas dari kaki Bukit Tsur, sedang kaum Quraish masih mencari kami. Tidak seorang pun yang dapat menemui kami kecuali Suraqah bin Malik bin Ju'shum yang berada di atas kudanya.
“Lalu aku berkata, pemburuan ini (kaum Quraisy) telah berjaya akhirnya menemui kita ya Rasulullah!
“Baginda pun menjawab: Jangan takut, kerana Allah akan sentiasa bersama kita.”
Baginda kemudiannya meneruskan perjalanan tanpa ada sebarang gangguan lagi mana-mana pihak.
No comments:
Post a Comment